Chelsea meredakan kritikan terhadap dasar rotasi Enzo Maresca dengan kemenangan 3-0 menentang Wolves yang menampilkan gol pertama dalam kerjaya Malo Gusto pada hari Sabtu.
Bekas bintang Manchester United, Wayne Rooney berkata pemain senior Chelsea seharusnya “mempersoalkan” pemilihan Maresca selepas jurulatih dari Itali itu membuat tujuh perubahan untuk keputusan seri 2-2 menentang pasukan kerdil Azerbaijan, Qarabag dalam Liga Juara-Juara pada hari Rabu.
Selepas mempertahankan dirinya daripada sindiran Rooney dengan menegaskan tuntutan fizikal ke atas pemain adalah lebih besar berbanding sebelum ini, Maresca membuat lapan perubahan di Stamford Bridge.
Ia merupakan perlawanan keenam berturut-turut yang mana Maresca telah membuat tujuh atau lebih perubahan dan langkah itu membuahkan hasil dengan persembahan separuh masa kedua yang kukuh yang melonjakkan Chelsea ke tempat kedua dalam Liga Perdana.
Pemain pertahanan Perancis, Gusto, yang tiba dari Lyon pada 2023, meletakkan Chelsea di hadapan selepas rehat dengan gol profesional pertamanya.
Joao Pedro menggandakan kedudukan dan Pedro Neto melengkapkan kemenangan keempat Chelsea dalam lima perlawanan liga terakhir mereka ketika mereka menghampiri enam mata di belakang pendahulu Arsenal.
Walaupun mereka akan jatuh daripada tempat kedua selepas Manchester City menghadapi Liverpool pada hari Ahad, Maresca akan lega kerana dapat membungkam pengkritiknya menjelang rehat antarabangsa.
“Ia lebih kepada gangguan dari luar. Di dalam, kami yakin sebagai sebuah kelab sebagai sebuah pasukan, kami menuju ke arah yang betul dan melakukan perkara yang baik,” kata Maresca.
“Kami bermain dengan baik. Saya rasa satu-satunya perbezaan antara separuh masa pertama dan separuh masa kedua ialah pada separuh masa kedua kami menjaringkan gol yang tidak kami jaringkan pada separuh masa pertama.”
Mengenai kontroversi rotasi, beliau menambah: “Ia sebahagian daripada kerja saya, ia sebahagian daripada permainan.
“Pada akhirnya ini adalah urusan yang mana apabila anda tidak menang, ada masalah tetapi apabila anda menang semuanya baik.”
Wolves yang berada di kedudukan terbawah liga, yang diketuai oleh jurulatih akademi James Collins dan Richard Walker selepas pemecatan Vitor Pereira pada hujung minggu lalu, berada lapan mata daripada zon selamat berikutan kekalahan kesembilan mereka dalam 11 perlawanan liga.
Middlesbrough telah memberikan kebenaran kepada pengurus mereka, Rob Edwards untuk bercakap dengan Wolves mengenai jawatan itu selepas bersetuju dengan perjanjian pampasan pada hari Sabtu.
Chelsea hanya tiba di London pada pukul enam pagi hari Khamis selepas penerbangan panjang mereka kembali dari Baku dan, walaupun Maresca membuat pertukaran, mereka kelihatan lesu pada separuh masa pertama.
Chelsea menemui rentak mereka
Alejandro Garnacho telah menyelamatkan Chelsea dengan gol penyamaan menentang Qarabag dan pemain sayap Argentina itu sepatutnya membuka jaringan pada peringkat awal di barat London.
Hantaran Enzo Fernandez menghantar Garnacho untuk melakukan serangan tetapi rembatan rendahnya berjaya diselamatkan oleh Sam Johnstone.
Johnstone sekali lagi menyelamatkan Wolves, menepis rembatan Fernandez dari tepi kawasan penalti.
Selepas melakukan dua penyelamatan yang baik, Johnstone melakukan kesilapan apabila dia membenarkan sepakan penjuru Fernandez melambung melepasi dirinya ke arah gol, dengan Toti Gomes melakukan penyelamatan akrobatik di atas garisan.
Walaupun Chelsea menguasai kawasan, peminat mereka mula berasa kecewa dengan hantaran perlahan mereka dan kegagalan untuk menewaskan Wolves.
Joao Pedro mensia-siakan peluang keemasan untuk meredakan kebimbangan Chelsea pada penghujung separuh masa pertama apabila dia melakukan rembatan tersasar dari kedudukan tidak dikawal di tepi kawasan penalti.
Chelsea diejek pada waktu rehat, tetapi peminat mereka yang kecewa akhirnya dapat bersorak pada minit ke-51.
Garnacho menjadi pemangkin dengan larian deras dan hantaran ke dalam kotak enam ela, di mana Gusto menanduk masuk dengan bergaya.
Maresca memasukkan bintang yang sedang meningkat naik, Estevao Willian dan pemain remaja dari Brazil itu hanya mengambil masa 67 saat untuk memberi impak serta-merta apabila dia mengatur gol kedua Chelsea pada minit ke-65.
Larian dinamik Estevao berakhir dengan hantaran lintang yang disukat dengan sempurna untuk Joao Pedro, yang melepaskan rembatan kencang melepasi Johnstone dari jarak 12 ela.
The Blues telah menemui rentak mereka dan Neto mengesahkan kemenangan pada minit ke-73, bekas pemain sayap Wolves itu menanduk masuk hantaran lintang menarik daripada Garnacho.