Seorang pendaki Australia telah meninggal dunia ketika cuba mendaki Gunung Himlung Himal di Nepal berketinggian 7,126 meter (23,379 kaki), kata pegawai pelancongan pada hari Ahad.

Chin-Tark Chan, 49, jatuh sakit semasa pendakiannya ke gunung yang agak sukar berhampiran sempadan dengan Tibet pada 29 Oktober.

Foto: Morbid Midnight
Foto: Morbid Midnight

“Dia meninggal dunia pada ketinggian 6,100 meter,” kata pengarah Jabatan Pelancongan, Himal Gautam, kepada AFP.

Gautam berkata usaha menyelamat gagal disebabkan keadaan cuaca buruk di kawasan itu.

“Usaha telah dilakukan untuk membawa mayatnya ke Kem 2 dari Kem 3, kemudian mayatnya akan diterbangkan balik ke Kathmandu dengan helikopter,” kata Gautam.

Beliau berkata punca kematian masih belum diketahui.

Lakpa Sherpa, pengarah urusan di 8K Expeditions, syarikat yang digunakan oleh warga Australia itu untuk melakukan pendakian, berkata Chan juga pernah mencuba Himlung pada tahun lepas.

“Dia tidak berjaya melakukannya disebabkan keadaan kesihatannya,” kata Sherpa kepada AFP.

Syarikat ekspedisi itu berkata ia sedang berkoordinasi dengan ahli keluarga dan kedutaan Australia untuk membawa mayat Chan kembali ke Kathmandu.

Himlung Himal terletak di timur laut banjaran Annapurna dan Manaslu.

Hampir 400 pendaki berada di gunung itu pada musim luruh ini, yang biasanya bermula dari akhir Ogos hingga November.

Ekspedisi musim luruh di Himalaya kurang popular kerana hari yang lebih pendek dan sejuk, kawasan bersalji dan ruang puncak yang sempit berbanding musim bunga yang sibuk.

Bulan lepas, seorang pendaki gunung dari Perancis dan seorang lagi dari Korea Selatan meninggal dunia semasa ekspedisi ke Gunung Ama Dablam.

Sebagai rumah kepada lapan daripada 10 puncak tertinggi di dunia, termasuk Gunung Everest, Nepal mengalu-alukan ratusan pendaki setiap tahun.