Nick Woltemade berkata beliau berharap telah melakukan yang secukupnya untuk menempah tempatnya dalam Piala Dunia 2026 selepas menjaringkan gol sekali lagi dalam kemenangan 6-0 Jerman ke atas Slovakia di Leipzig pada hari Isnin.

“Kami berasa lega. Ini adalah saat yang hebat,” kata Woltemade.

“Saya bermain, saya menjaringkan gol dan saya harap saya akan bermain di Piala Dunia.”

Penyerang Newcastle itu membuka jaringan pada hari Isnin, dengan Leroy Sane menjaringkan dua gol dan Serge Gnabry, Ridle Baku dan Assan Ouedraogo turut mencetak nama dalam senarai penjaring.

Woltemade (23) telah menjaringkan empat gol dalam tiga perlawanan terakhirnya untuk Jerman, termasuk gol kemenangan menentang Ireland Utara dan Luxembourg.

Ketika duduk di bangku simpanan di Werder Bremen 18 bulan lalu, Woltemade membuat penampilan sulung antarabangsanya pada bulan Jun.

Dengan Jerman kehilangan beberapa penyerang termasuk Kai Havertz, Jamal Musiala, Tim Kleindienst dan Niclas Fuellkrug, Woltemade telah menjadikan dirinya sangat diperlukan oleh jurulatih Julian Nagelsmann.

“Saya rasa sukar untuk dijelaskan, sentiasa hebat untuk dapat bermain untuk Jerman,” katanya kepada ZDF.

“Saya melalui semua pasukan remaja, dan kini saya bersama pasukan senior.”

Persembahan itu adalah yang terbaru dalam peningkatan pesat untuk penyerang setinggi 1.98 meter itu, yang berpindah dari Stuttgart ke pasukan Liga Perdana Inggeris Newcastle pada musim panas dengan yuran yang dilaporkan sebanyak 75 juta euro (RM383 juta).

“Bagi kebanyakan kami, ini akan menjadi Piala Dunia pertama kami,” kata Nagelsmann kepada pemberita. “Bagi saya, ini adalah yang pertama. Ia adalah kejohanan yang sangat bermakna dalam bola sepak dan saya menantikannya.”

Kapten Jerman Joshua Kimmich, seorang veteran dalam dua Piala Dunia, memberitahu ZDF: “Semua orang mahu menghantar mesej hari ini, semua orang tahu apa yang dipertaruhkan: kelayakan ke Piala Dunia!

“Saya memberitahu semua orang bahawa Piala Dunia adalah pencapaian terbesar bagi seorang pemain dalam karier.”