Syarikat peruncitan tempatan, Mydin dilaporkan alami kerugian mencecah RM500,000 setiap tahun akibat masalah kehilangan dan salah guna troli beli-belah di 76 cawangannya di seluruh Malaysia.
Buat pengetahuan umum, setiap unit troli dianggarkan bernilai RM500, dan kehilangan ini merupakan beban kewangan yang serius buat syarikat. Kebanyakan kes berlaku apabila pelanggan yang tinggal di kawasan perumahan atau apartmen berhampiran membawa pulang troli tersebut ke rumah sebelum meninggalkannya di bahu jalan atau kawasan terbiar.
Isu ini bukan sekadar melibatkan kehilangan aset, malah turut melibatkan kos operasi tambahan untuk mengupah pekerja bagi mencari dan mengumpul semula troli yang bertaburan.
Selain itu, banyak troli yang ditemui semula berada dalam keadaan rosak, terutamanya pada bahagian roda, kerana sering ditolak di atas permukaan jalan bertar yang kasar yang tidak sesuai untuk kegunaan troli pasar raya. Malah terdapat juga segelintir pihak tidak bertanggungjawab seperti pemungut besi yang mengambil troli terbiar ini untuk dilupuskan demi keuntungan peribadi.
Kesannya, kos kerugian yang tinggi ini akhirnya terpaksa ditanggung secara tidak langsung oleh pengguna melalui pelarasan harga barangan di pasaran.