Malaysia terus meneraju inovasi dalam pengukuhan bekalan tenaga global – apabila kini menguji penggunaan B100 iaitu biodiesel tanpa campuran bahan api fosil pertama di dunia. Kesepakatan di bawah FELDA dan anak syarikatnya FGV ini sekali gus menjadikan ia sebagai sumber alternatif kepada negara dalam memperkasa bekalan tenaga di masa hadapan.
Buat pengetahuan umum, biodiesel B100 adalah bahan api berasaskan 100% minyak kelapa sawit – berbeza dengan biodiesel campuran seperti B7, B10 dan B20 di pasaran semasa.

Setakat ini pelaksanaan B100 masih diperingkat dasar dan akan mula digunakan dalam ekosistem FELDA terlebih dahulu.
Berdasarkan pengamatan kedua pihak, harga B100 di peringkat kilang dianggarkan sekitar RM4.50 seliter – yang mana ia bergantung kepada harga minyak sawit mentah di pasaran semasa. Bersama anggaran harga B100 di bawah RM5.00 seliter ini – FELDA dan FGV optimis sumber ini berupaya membantu negara mengurangkan kebergantungan ke atas diesel konvensional dan membuka peluang buat kerajaan merangka strategi menstabilkan harga bahan api domestik.
Secara menyeluruh, projek rintis B100 ini telahpun dilaksanakan pada 2024 selama 4 bulan dan dilanjutkan pada 2025 dengan melibatkan kenderaan penumpang selama 15 bulan bersama jarak perjalanan melebihi 50,000 kilometer. Percubaan tersebut menghasilkan prestasi yang baik, dilihat berupaya memberi keseimbangan kepada bekalan tenaga tempatan kelak.