MFL Challenge Cup: Sabah FC Buru Bekalan Terbaik Di Pulau Pinang
Hafiz Omar

Sabah FC menyasarkan keputusan yang positif pada serta mengutip bekalan yang selesa daripada perlawanan akhir pertama MFL Challenge Cup 2025-26 menentang Penang FC di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang.
Ketua jurulatih skuad berjulukan Sang Badak, Juan Torres Garrido berkata pasukannya kini berada pada tahap kesiapsiagaan terbaik hasil tempoh latihan yang berjalan lancar menjelang perlawanan penting itu.
Tambahnya persiapan rapi yang dilakukan terarah kepada penumpuan aspek teknikal dan taktikal bagi memastikan Sabah FC tampil lebih bersedia dalam perlawanan itu nanti.
“Kami melalui tempoh latihan yang baik dan membuat persiapan sebaik mungkin. Kami menjangkakan dapat mengawal lebih banyak aspek permainan dalam perlawanan ini,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Juan meletakkan sasaran utama untuk meraih kemenangan namun beliau mengakui perlawanan akhir yang berlangsung secara timbal balik memerlukan pendekatan yang lebih strategik.
“Ini adalah final dua perlawanan, jadi tidak ada keputusan muktamad selepas aksi pertama. Keputusan yang baik adalah penting, tetapi bukan penentu sepenuhnya,” ujarnya.
Mengulas mengenai lawannya, Juan menjangkakan Penang FC akan tampil dengan motivasi tinggi mengambil kira kepentingan perlawanan akhir itu.
“Ini adalah perlawanan akhir dan kami menjangkakan mereka akan sama bersemangat seperti kami,” tambahnya.
Beliau meletakkan pengharapan yang tinggi terhadap anak-anak buahnya dapat mempersembahkan terbaik buat penyokongselain menyuntik semangat menjelang aksi timbal balik di Stadium Likas pada 19hb April kelak.
“Kami mahu memberikan persembahan yang baik supaya penyokong lebih bersemangat untuk hadir dan menyokong pasukan pada perlawanan kedua nanti,” katanya.
Untuk makluman, sepak mula perlawanan akhir pertama MFL Challenge Cup 2025-26 antara Penang FC dan Sabah FC dijadualkan pada jam 9 malam, Sabtu ini.
Featured Image: Sabah FC