Permainan action-puzzle keluaran SEGA, Puyo Puyo Champions, telah disenaraikan sebagai acara esukan berpingat rasmi untuk Sukan Asia ke-20 Aichi-Nagoya 2026. Ini menandakan kemunculan sulung permainan tersebut di temasya sukan berprestij berkenaan, yang bakal mempertandingkan 11 disiplin merentasi 13 judul permainan secara keseluruhan.

Bagi menggalas cabaran negara tuan rumah untuk acara Puyo Puyo Champions, Japan eSports Union (JESU) telah mencalonkan seorang pelajar sekolah rendah berumur 10 tahun dari Tokyo yang dikenali sebagai YUUKI. Pencalonan ini masih menunggu kelulusan muktamad dan pengesahan daripada Jawatankuasa Olimpik Jepun (JOC).

YUUKI mempunyai rekod prestasi yang cemerlang dalam senario kompetitif permainan tersebut sejak 2023 dengan memenangi divisyen sekolah rendah di Inter-Prefectural Esports Championship. Dominasi pemain muda ini berterusan apabila tampil sebagai juara keseluruhan dalam kejohanan terkini iaitu GigaCrysta Puyo Puyo Grand PRIX FINAL 2026 dan ASIA esports EXPO 2026. YUUKI menyatakan bahawa fokus utamanya kini adalah untuk memenangi pingat emas pada temasya Sukan Asia tersebut.

Berikutan penambahan judul ini ke dalam senarai sukan rasmi, SEGA juga telah memeterai perjanjian kontrak yang berkuat kuasa sehingga 31 Disember 2026 untuk bertindak sebagai Pembekal Rasmi di bawah kategori permainan esukan bagi temasya tersebut. Pemilihan permainan ini bertepatan dengan ulang tahun ke-35 siri francais puzzle game Puyo Puyo yang akan disambut pada tahun 2026.

Secara keseluruhan, Sukan Asia ke-20 Aichi-Nagoya akan berlangsung bermula 19 September hingga 4 Oktober 2026. Acara esukan pula dijadualkan berlangsung dari 23 September hingga 2 Oktober 2026, bertempat di Aichi Sky Expo Hall D di Tokoname.

Leave a Reply