Dengan berakhirnya kesemua perlawanan untuk Minggu Pertama bagi MPL Malaysia 17, landskap sebenar era francais MPL Malaysia kini mula terbentuk. Jelas kelihatan perbezaan kualiti yang ketara di antara pasukan elit yang mengawal makro permainan berbanding pasukan yang hanya bergantung kepada kelebihan mekanikal individu.
Berikut adalah susunan Power Ranking untuk kelapan-lapan pasukan selepas kesemua keputusan dan juga sesi perlawanan mereka.
1. Selangor Red Giants (SRG) | Rekod: 2-0

Selaku juara bertahan, SRG masih lagi pasukan untuk dikalahkan. SRG bukan sahaja membelasah Team Vamos 2-0 pada hari pembukaan, malah membuktikan “Mentaliti Juara” mereka menerusi perlawanan ‘reverse sweep’ penuh ketahanan mental ke atas Team Rey. Pemain EXP Lane, Kramm, adalah tunjang utama skuad ini; kemampuannya menyerap ratusan ribu damage tanpa mati membolehkan jentera serangan SRG beroperasi dengan sempurna. Disiplin ‘late-game’ mereka hampir mustahil untuk ditembusi. Pilihan untuk menggunakan Unii atau Sekyss juga akan memberi mereka kelebihan di dalam penukaran strategi atau mencuba gaya baharu.
2. RRQ Tora (RRQ) | Rekod: 2-0

RRQ Tora menghantar amaran keras kepada seluruh liga menerusi kemenangan bersih ke atas Team Rey dan pembersihan total 2-0 ke atas Team Flash. Mereka adalah pasukan yang paling versatil setakat ini, mampu bermain secara perlahan dan terkawal pada perlawanan pertama, lalu bertukar menjadi jentera penekan agresif pada perlawanan kedua. Penguasaan posisi oleh Superyoshi dan asakan mapan Dyrennn menjadikan RRQ ancaman utama kepada kedudukan SRG.
3. Invictus Gaming (iG) | Rekod: 1-0

Walaupun hanya bermain satu siri pada minggu ini, kemenangan 2-0 iG ke atas Bigetron MY adalah sebuah penglihatan kualiti dalam kawalan peta. Disokong oleh mekanik elit Hazle di posisi Jungler dengan penglibatan skor bunuh 94% dan 100%, pasukan ini mempamerkan disiplin objektif yang sangat baik. Mereka mematikan terus pergerakan musuh daripada merapati Lord atau Turtle. iG bermain dengan ketepatan seperti satu pasukan yang sudah lama bersama.
4. Team Flash (FL) | Rekod: 1-1

Pasukan ini mempunyai kepelbagaian taktikal yang menarik, dibuktikan apabila mereka merungkai corak agresif AC Esports untuk mencatatkan ‘reverse sweep’. Namun, kelemahan struktur makro mereka didedahkan oleh RRQ Tora. Team Flash hilang arah apabila berdepan pasukan yang menekan barisan hadapan mereka secara sistematik. Mereka adalah skuad pertengahan atas yang kuat, tetapi perlukan kekemasan strategik untuk menumbangkan pasukan tiga teratas.
5. AC Esports (AC) | Rekod: 1-1

AC memiliki senjata ‘early-game’ yang sangat membahayakan. Keupayaan mereka bangkit daripada kekalahan dengan melakukan ‘reverse sweep’ ke atas Bigetron MY menyelamatkan maruah pasukan minggu ini. Pasukan ini beroperasi pada tahap optimum apabila Izanami mendapat ruang untuk mengawal pertempuran. Jika musuh gagal menyekat Izanami, AC akan menghukum mereka dengan pantas, namun kedalaman pelan sandaran mereka masih menjadi tanda tanya.
6. Team Rey (TR) | Rekod: 0-2

Rekod 0-2 langsung tidak mencerminkan kualiti sebenar TR. Mereka menerima jadual yang melalui laluan maut berdepan dua pasukan terbaik liga secara berturut-turut. TR memaksa juara bertahan SRG bermain sehingga ke had maksimum dalam perlawanan tiga pusingan. Loleal juga adalah antara Gold Laner paling berkesan minggu ini. Jika TR berjaya mengurangkan kesilapan posisi ketika perebutan objektif utama, mereka akan mula mengutip mata kemenangan dengan mudah pada minggu hadapan.
7. Team Vamos (VMS) | Rekod: 0-1

Ujian pembukaan menentang juara bertahan mendedahkan kelompangan besar buat VMS. Kesilapan utama mereka terletak pada kelajuan tindak balas dan pergerakan pasukan yang tidak selari ketika diserang. Komunikasi dalam permainan mereka nampak berterabur. VMS mempunyai banyak kerja rumah yang perlu dilakukan di kem latihan untuk mencari identiti dan membina keserasian skuad, tetapi perlu diingatkan mereka bertemu dengan juara bertahan dan mungkin tidak dapat melakukan strategi mereka dengan berkesan.
8. Bigetron MY (BTRM) | Rekod: 0-2

BTRM menampilkan prestasi paling membimbangkan sepanjang Minggu Pertama. Walaupun terdapat kilauan individu seperti persembahan cemerlang Anavel ketika memenangi perlawanan pertama melawan AC, tetapi prestasi serta pilihan hero perlu ditambah lagi. Ketahanan barisan hadapan mereka juga terlalu rapuh pada fasa minit ke-15 ke atas, dan mereka secara konsisten gagal mengawal kawasan sungai. Pemain utama seperti CikuGais sering dibiarkan terdedah tanpa perlindungan yang mencukupi. Kekemasan corak permainan perlu disegerakan.
Gambar: Moonton


