Usaha berterusan Skop Productions dan Astro Shaw dalam mengetengahkan pelapis baharu di kerusi pengarah diteruskan menerusi naskhah Malaikat Malam. Diterajui oleh Nazifdin Nasrudin yang sebelum ini lebih banyak memfokuskan kepada penulisan skrip termasuklah untuk filem ini, ia merupakan satu percubaan sulung yang boleh saya puji. Filem ini mempunyai gaya tersendiri dan naratif yang menarik, namun malangnya ia terperangkap dalam percubaan untuk melakukan terlalu banyak perkara dalam satu masa. Ini mengakibatkan penceritaannya terasa terputus-putus untuk sebuah naskhah yang pada asasnya cukup menyentuh hati.

Filem ini memfokuskan kepada watak Azam lakonan Syafiq Kyle, seorang pemilik bengkel motosikal yang gemar merempit. Dalam salah satu aktiviti haramnya itu, dia hampir melanggar seorang wanita buta bernama Ratna lakonan Tracie Sinidol yang sedang melintas jalan. Rasa bersalah, Azam menghantar Ratna pulang ke rumahnya, dan dari situlah bibit-bibit hubungan mereka mula berputik. Pada masa yang sama, Azam juga menjadi sasaran seorang lagi pelumba haram bernama Boy lakonan Amir Nafis yang bertindak sebagai antagonis utama filem ini. Tidak cukup dengan itu, kita turut diperkenalkan kepada Arash lakonan Que Haidar, iaitu abang Azam yang merupakan bekas pelumba tetapi kini terjebak dengan kancah dadah akibat satu kemalangan ngeri.

Saya boleh katakan filem ini tidak ketandusan cerita. Terdapat pelbagai plot yang bergerak secara serentak. Ada kisah antara Azam dan Ratna, konflik Azam dan Boy, kemelut Azam dan Arash, serta dinamik Azam bersama dua rakan baiknya iaitu Jimmy lakonan Kodi Rasheed dan Mat Jet lakonan Juzzthin. Malah, terdapat juga subplot yang melibatkan hubungan tegang di antara Ratna dan bapanya lakonan Reizman Khuzaimi. Kesemua cerita ini sebenarnya mempunyai potensi yang besar untuk menjadikan filem ini sangat menarik, tetapi setiap satunya terasa seperti penceritaan berasingan dan tidak dihubungkan dengan baik antara satu sama lain. Keadaan ini membuatkan perjalanan filem terasa meleret dan perkembangan plotnya terbantut, bagaikan setiap cerita cuba bersaing untuk perhatian saya sebagai penonton.

Masalah utama naskhah ini terletak pada binaan asasnya. Hampir kesemua cerita ini tidak diberikan pengenalan yang kukuh, dan perkara ini sangat ketara untuk elemen perlumbaan haram tersebut. Perlumbaan itu berlaku begitu sahaja tanpa sebarang pembinaan dunia di sebaliknya, lantas menjadikan ia terasa agak mendatar. Terdapat juga masalah dari sudut visual di mana semuanya kelihatan terlalu bersih untuk sebuah cerita yang menyentuh tema-tema gelap seperti lumba haram dan ketagihan dadah. Babak perlumbaannya, yang saya kira ada sekitar dua atau tiga adegan, kelihatan tidak bernyawa kerana kurangnya nilai realisme, seolah-olah tiada langsung kenderaan awam lain di atas jalan raya. Menjelang penghujung cerita, terdapat satu lagi pusingan plot kepada watak dan jalan cerita yang sepatutnya menjadikan naratif lebih mendebarkan. Tetapi oleh kerana ia tidak dibina dengan kemas sejak awal, elemen kejutan tersebut gagal memberikan impak dan tidak mencapai potensi sebenar cerita tersebut.

Dari sudut lakonan, barisan pelakon telah memberikan persembahan yang baik. Syafiq Kyle membawakan wataknya dengan meyakinkan, dan saya harus memberikan pujian kepada Tracie Sinidol yang berjaya menghidupkan watak gadis buta dengan sangat realistik. Namun begitu, wataknya juga menjadi mangsa kepada penceritaan yang terlampau sarat, membuatkan perkembangan karakternya tidak dapat digarap dengan sempurna.

Akhir kata, Malaikat Malam merupakan satu usaha yang agak baik daripada Nazifdin Nasrudin untuk filem pertamanya. Tetapi dengan cuba memuatkan terlalu banyak elemen, ia menarik turun keseluruhan penceritaan dan membuatkan tiada satu pun plot yang benar-benar menyerlah, sekaligus menjejaskan watak-watak yang ada di sebalik lakonan cemerlang mereka. Ia adalah sebuah kisah yang menyentuh hati, tetapi bersedialah untuk menggaru kepala dari masa ke masa sepanjang tontonan anda.
Malaikat Malam sedang ditayangkan di pawagam.


