Tahun 2025 telah menyajikan pelbagai judul permainan video yang luar biasa, dari sekuel yang dinanti-nantikan sehinggalah kepada francais baharu yang memberi nafas segar kepada industri. Berdasarkan ulasan kami sepanjang tahun ini, berikut adalah senarai 10 permainan terbaik yang wajib anda cuba, bermula dari tangga ke-10 hingga ke juara tahun ini.

10. Anno 117: Pax Romana

Bagi peminat strategi pembinaan bandar, Anno 117 adalah penanda aras baharu yang membawa pemain ke zaman kegemilangan Empayar Rom. Walaupun ini adalah pengalaman pertama penulis dengan siri Anno, permainan ini berjaya memukau dengan sistem “sebab dan akibat” yang sangat logik dan adil, jika berlaku masalah di bandar, puncanya jelas dan boleh diperbaiki.

Dunia permainannya terbahagi kepada dua kawasan utama, Latium dan Albion, di mana pemain boleh memilih untuk mencorakkan Albion mengikut budaya Rom atau Celtic. Walaupun ia menuntut spesifikasi PC yang agak tinggi untuk menikmati grafik yang indah, kepuasan melihat bandar yang dibina berfungsi dengan lancar menjadikan ia pengalaman yang sangat berbaloi.

Baca: Ulasan Anno 117: Pax Romana

9. Monster Hunter Wilds

Sebagai judul keenam dalam siri utamanya, Monster Hunter Wilds berjaya menjadi titik masuk yang mesra bagi pemain baharu tanpa mengorbankan kedalaman mekaniknya. Tarikan utamanya kekal pada 14 jenis senjata yang setiap satunya menawarkan gaya permainan yang unik, seolah-olah memberikan pengalaman berbeza setiap kali anda menukar senjata.

Mekanik baharu seperti “Wound” dan “Focus Strike” memberikan lapisan strategi tambahan yang memuaskan semasa memburu. Walaupun penceritaannya sekadar pelengkap, kitaran permainan memburu dan menghasilkan kelengkapan baharu cukup ketagih untuk membuatkan pemain meluangkan masa berpuluh jam tanpa rasa bosan.

Baca: Ulasan Monster Hunter Wilds

8. Assassin’s Creed Shadows

Penantian peminat untuk latar Jepun akhirnya terjawab. Shadows menawarkan dunia terbuka yang luas dengan dua protagonis yang sangat berbeza: Naoe, seorang shinobi yang lincah untuk gaya permainan senyap, dan Yasuke, samurai berbadan sasa untuk aksi berdepan yang ganas.

Walaupun permulaan permainannya agak perlahan, mengambil masa sekitar 10 jam untuk benar-benar bermula, kesabaran pemain akan dibalas dengan pengalaman pertempuran yang asyik dan dunia yang penuh dengan misi sampingan menarik. Bagi mereka yang mencari permainan yang boleh dimainkan selama ratusan jam, ini adalah pilihan tepat.

Baca: Ulasan Assassin’s Creed Shadows

7. Two Point Museum

Selepas kejayaan hospital dan kampus, Two Point Museum membawa kelainan segar dengan mekanik “Expedition”. Tidak lagi sekadar menunggu barangan sampai, pemain kini perlu menghantar pasukan ekspedisi ke seluruh dunia untuk mencari fosil dan artifak, menjadikan permainan ini lebih daripada sekadar pengurusan biasa.

Elemen jenaka khas siri Two Point masih kekal, dan cabaran untuk menguruskan pameran agar mendapat “Buzz” serta mendidik pengunjung memberikan kepuasan tersendiri. Ia adalah evolusi yang menyegarkan bagi peminat genre simulasi pengurusan.

Baca: Ulasan Two Point Museum

6. Split Fiction

Hazelight Studios sekali lagi membuktikan mereka adalah raja permainan koperasi. Split Fiction bukan sahaja menandingi It Takes Two, malah membawanya ke tahap lebih tinggi dengan menggabungkan dua dunia berbeza: sains fiksyen dan fantasi.

Pemain mengawal Zoe dan Mio, dua penulis yang terperangkap dalam dunia ciptaan mereka sendiri. Kekuatan utama permainan ini terletak pada kreativiti mekaniknya yang sentiasa berubah mengikut babak, serta rujukan budaya pop yang menghiburkan. Ia adalah permainan wajib untuk dimainkan bersama rakan atau pasangan.

Baca: Ulasan Split Fiction

5. Dispatch

Jika anda pernah mengimpikan siri TV interaktif yang berkualiti tinggi, Dispatch adalah jawapannya. Mengisahkan Robert Robertson III, bekas wira yang kini menguruskan pasukan bekas penjahat yang ingin menjadi baik, permainan ini cemerlang dari segi penyampaian cerita dan lakonan suara kelas pertama daripada pelakon seperti Aaron Paul dan Laura Bailey.

Walaupun mekanik permainannya ringkas, melibatkan pengurusan pasukan melalui komputer dan permainan mini, kekuatannya terletak pada emosi dan naratif yang kuat. Ia membuktikan bahawa permainan video tidak semestinya memerlukan dunia terbuka untuk menjadi hebat.

Baca: Ulasan Dispatch

4. Ghost of Yotei

Berlatarkan 300 tahun selepas Ghost of Tsushima, sekuel ini membawa pemain ke pergunungan Yotei di Hokkaido bersama protagonis baharu, Atsu. Perubahan paling ketara adalah fokusnya terhadap penerokaan; dunia permainan ini direka begitu indah sehingga setiap kawasan terasa seperti lukisan yang hidup.

Sistem pertempuran juga diperbaharui dengan variasi senjata yang lebih pelbagai berbanding hanya menukar “stance”, memberikan Atsu identiti pahlawan yang tersendiri. Kisah Atsu yang memburu kumpulan “Yotei Six” digarap dengan baik, menjadikannya watak yang lebih menarik berbanding Jin Sakai.

Baca: Ulasan Ghost of Yotei

3. Death Stranding 2: On The Beach

Hideo Kojima kembali dengan sekuel yang menambah baik hampir setiap aspek daripada permainan pertama. Death Stranding 2 membawa Sam ke lokasi baharu seperti Mexico dan Australia yang jauh lebih luas dan mencabar.

Dengan penambahan mekanik seperti bencana alam (banjir dan gempa bumi) serta kenderaan dan fasiliti baharu seperti monorail, pengalaman penghantaran kini menjadi lebih mendalam dan menyeronokkan. Jika anda menyukai permainan pertama, sekuel ini adalah versi yang lebih sempurna, besar, dan visualnya antara yang paling realistik pernah dihasilkan.

Baca: Ulasan Death Stranding 2: On The Beach

2. Kingdom Come: Deliverance II

Ini adalah definisi sebenar permainan RPG dunia terbuka yang “hidup”. Menyambung kisah Henry, Kingdom Come: Deliverance II menawarkan pengalaman yang tidak cuba memegang tangan pemain, sebaliknya membiarkan anda tersesat dalam dunia abad pertengahan yang direka dengan teliti.

Kekuatannya terletak pada misi sampingan yang ditulis dengan sangat baik, tiada satu pun terasa seperti pengisi masa kosong. Walaupun sistem pertempurannya mencabar dan realistik, kepuasan melihat Henry terlibat dengan pelbagai karena politik secara sengaja ataupun tidak, dan juga melihat dia menjadi satu watak hero adalah pengalaman yang sangat memuaskan.

Baca: Ulasan Kingdom Come: Deliverance II

1. Clair Obscur: Expedition 33

Di tangga teratas adalah Clair Obscur: Expedition 33, sebuah kejutan terbesar tahun ini. Permainan ini adalah pakej lengkap yang menggabungkan sistem pertarungan hibrid (turn-based dengan elemen masa nyata) yang segar, rekaan dunia inspirasi Belle Époque yang memukau, dan penceritaan yang penuh emosi.

Apa yang membezakannya adalah bagaimana setiap elemen, dari muzik latar yang mungkin terbaik dalam sejarah, hingga kepada watak-watak seperti Gustave dan Maelle, bersatu membentuk pengalaman yang utuh. Walaupun mekanik permainannya seronok, ia seringkali dibayangi oleh kualiti penceritaan dan pembinaan dunianya yang luar biasa, menjadikannya Permainan Terbaik 2025 pilihan kami.

Baca: Ulasan Clair Obscur: Expedition 33

Leave a Reply