Minggu pertama untuk bulan Disember 2025 memperlihatkan satu penutup tahun yang sangat hebat untuk industri permainan video. Selepas penantian bertahun-tahun untuk beberapa judul, minggu ini akhirnya menyaksikan pelancaran permainan yang dinanti-nantikan seperti Metroid Prime 4: Beyond dan juga Routine. Selain itu, peminat genre RPG dan aksi juga disajikan dengan prekuel Octopath Traveler dan permainan beat ’em up baharu daripada Marvel.

Berikut adalah 5 permainan menarik yang akan dilancarkan sepanjang minggu ini.

Metroid Prime 4: Beyond

Platform: Nintendo Switch

Mungkin adalah permainan yang paling lama dinantikan oleh peminat Nintendo, Metroid Prime 4: Beyond akhirnya tiba. Dibangunkan oleh Retro Studios, permainan ini meneruskan pengembaraan Samus Aran. Kali ini, Samus dilengkapi dengan kebolehan psikik baharu dan buat pertama kalinya, kenderaan seperti motosikal yang dinamakan Vi-O-La untuk menjelajah dunia Viewros. Permainan ini juga merupakan judul rentas-generasi yang memanfaatkan kuasa grafik tambahan pada konsol Nintendo Switch 2.

Octopath Traveler 0

Platform: PlayStation 5, PlayStation 4, Xbox Series, Nintendo Switch, PC

Square Enix kembali dengan permainan terbaru dalam siri HD-2D RPG mereka, Octopath Traveler 0. Bertindak sebagai prekuel kepada siri utama, permainan ini adalah adaptasi konsol daripada permainan mudah-alih Champions of the Continent, tetapi tanpa elemen gacha. Ia memperkenalkan mekanik pembinaan bandar di mana pemain perlu membangunkan semula Wishvale, serta sistem pertempuran yang membenarkan sehingga 8 watak beraksi serentak. Dengan lebih 30 watak untuk direkrut, ia menjanjikan kandungan beratus jam untuk peminat JRPG.

Marvel Cosmic Invasion

Platform: PlayStation 5, PlayStation 4, Xbox Series, Nintendo Switch, PC

Selepas kejayaan TMNT: Shredder’s Revenge, Tribute Games dan Dotemu kini membawa kepakaran mereka ke alam semesta Marvel. Marvel Cosmic Invasion adalah permainan aksi beat ’em up arked yang membariskan 15 adiwira termasuk watak unik seperti Beta Ray Bill dan Cosmic Ghost Rider. Pemain perlu bekerjasama menewaskan tentera Annihilus dalam pertempuran tag-team yang pantas. Gaya seni pixel yang cantik dan muzik latar yang rancak menjadikannya permainan memberi pengalaman retro yang mendalam.

Routine

Platform: Xbox Series, Xbox One, PC

Satu lagi permainan yang telah lama “hilang” daripada radar, Routine akhirnya dilancarkan di bawah penerbitan Raw Fury. Ia adalah permainan seram sci-fi yang berlatarkan pangkalan bulan yang ditinggalkan, dengan rekaan estetik visi masa depan era 80-an. Permainan ini tidak mempunyai paparan HUD, memaksa pemain bergantung sepenuhnya kepada pendengaran dan alat Cosmonaut Assistance Tool (C.A.T.) untuk menyelamatkan diri daripada ancaman misteri.

Sleep Awake

Platform: PlayStation 5, Xbox Series, PC

Dihasilkan oleh Cory Davis (Spec Ops: The Line) dan Robin Finck (Nine Inch Nails), Sleep Awake menawarkan pengalaman seram psikedelik yang unik. Berlatarkan masa depan di mana tidur boleh menyebabkan kehilangan misteri yang dipanggil “The Hush”, pemain mengawal Katja yang perlu menyelamatkan diri sambil mengelak daripada kultus maut. Permainan ini menggabungkan elemen visual yang menakutkan dan penceritaan yang mendalam, menjanjikan pengalaman naratif yang sukar dilupakan.

Leave a Reply